
Info
Menurut cerita orang dulu, sejarah nama Kampung Buntal merujuk kepada Sungai Buntal yang pada masa itu terkenal dengan ikan Buntal yang begitu banyak dan wujud kira-kira 300 tahun dulu.
Individu pertama mendiami Kampung Buntal ialah Datuk Tanggak yang terpesona dengan kedudukan kampung terbabit lalu membawa ahli keluarga menetap di situ selain menjadi tempat persinggahan ketika menangkap ikan.
Malah, kedudukannya yang dikatakan strategik turut dijadikan kawasan berlindung khususnya ketika musim tengkujuh dan sejak dari itu bermulanya kehidupan di Kampung Buntal yang kini didiami lebih 1,000 penduduk dengan 80 peratus adalah berketurunan Melayu, diikuti Cina dan Iban.
Pada mulanya, kampung yang terletak kira-kira 27 kilometer dari pusat bandar raya ini terletak di tepi laut namun disebabkan bencana alam selain kerakusan manusia menyebabkan berlakunya hakisan pantai sekali gus memaksa penduduk berpindah ke kawasan jauh dari pantai.
Rumah penduduk di situ dibina di sepanjang jalan kampung dan masih mengekalkan seni bina tradisional dan rata-rata penduduk hidup dalam kesederhanaan.
Terkenal sebagai destinasi makanan laut, Kampung Buntal turut menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar selain menjadi pusat pengeluaran belacan, ikan kering dan kek lapis Sarawak.




kepercayaan
Masyarakat Melayu di Sarawak merupakan golongan peribumi kedua terbesar selepas kaum Iban yang kaya dengan kepercayaan serta amalan turun temurun di mana menjadi sebahagian daripada peraturan sosial serta diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat. Kepercayaan dan amalan ini dimanifestasikan melalui petua-petua dan pantang larang yang diyakini kesannya terhadap kehidupan seharian. Kajian yang dilakukan mendapati bahawa penduduk yang menetap di kampung Buntal terdiri daripada 95% berbangsa Melayu manakala selebihnya adalah masyarakat Iban dan Cina.
Antara kepercayaan dan amalan yang masih menjadi pegangan masyarakat Kampung Buntal adalah penduduk yang turun ke pantai untuk mengutip “ambal” dilarang menggunakan kasut. Hal ini demikian kerana, mereka mempercayai bahawa penggunaan kasut itu menyebabkan “ambal” tidak akan keluar dari lubangnya. Selain itu, masyarakat Kampung Buntal juga mempercayai bahawa ketika memancing, pemancing tidak dibenarkan duduk dan tidak digalakkan memakai kasut ketika menjalankan aktiviti di laut. Hal ini demikian kerana, mereka mempercayai bahawa rezeki atau hasil pendapatan akan semakin berkurangan pada keesokan harinya.
Kepercayaan dari segi perkahwinan masyarakat masa kini jauh berbeza daripada masyarakat Melayu dahulu. Salah satu kepercayaan masyarakat dahulu adalah mempercayai bahawa selepas sahaja akad nikah dijalankan, pasangan pengantin dilarang untuk keluar daripada rumah selama 7 hari. Mereka menganggap bahawa jika keluar daripada rumah dalam tempoh tersebut maka sesuatu perkara yang tidak diingini akan berlaku. Walau bagaimanapun, kepercayaan tersebut tidak lagi diamalkan oleh masyarakat melayu Kampung Buntal.
kebudayaan
Kebudayaan boleh dilihat dari pelbagai aspek. Berdasarkan definisi budaya itu sendiri sudah menjelaskan bahawa istilah budaya merupakan perlambangan kepada cara hidup sesuatu masyarakat tersebut. Selain itu, budaya juga merupakan suatu perkara yang boleh dipelajari atau suatu yang tidak pernah diwarisi secara genetik. Keadaan ini yang menjadikan budaya itu berbeza di antara satu masyarakat dengan masyarakat yang lain. Kenyataan ini juga dapat dikukuhkan lagi apabila melihat dari sudut peranan budaya dalam kehidupan di mana fungsinya adalah lebih kepada mempromosikan keamanan dan keharmonian dalam sesebuah komuniti. Apabila membicarakan tentang perihal budaya, pada dasarnya budaya boleh dibahagikan kepada dua bentuk iaitu nyata dan tidak nyata. Budaya dalam bentuk yang nyata dapat dilihat menerusi hal kebendaan seperti pakaian, rumah, perhiasan, istana, peralatan dalam rumah, senjata dan sebagainya. Manakala bagi bentuk tidak nyata, budaya tersebut boleh terdiri daripada adat resam, penggunaan bahasa, sistem kepercayaan, sistem tarian dan muzik.
Sarawak merupakan negeri yang terbesar di Malaysia. Terdapat beberapa buah daerah dan kawasan yang menarik. Kajian lapangan pada kali ini akan dijalankan di kampung Buntal yang terletak berdekatan dengan Santubong, Sarawak. Kajian ini lebih memfokuskan terhadap kebudayaan komuniti yang berada di sana. Berdasarkan pembacaan melalui laman sesawang dan maklumat yang diperoleh melalui individu yang arif tentang kawasan tersebut, masyarakat di sana kebanyakannya terdiri daripada etnik Melayu Sarawak, Melayu Melanau dan sebahagian daripadanya ialah dari kaum Cina dan Iban.
Antara budaya di kampung Buntal yang dapat dilihat adalah kehidupan masyarakatnya yang mengamalkan hidup bermuafakat dengan beberapa buah kampung yang berdekatan. Budaya kerjasama menjadi amalan yang sentiasa dipraktikkan bagi memastikan hubungan silaturrahim dapat dikekalkan. Kenyataan ini sangat bersesuaian dengan fungsi kebudayaan itu sendiri di mana kata kunci utamanya adalah mengekalkan keharmonian hidup bermasyarakat.
Aktiviti perkahwinan dalam kampung Buntal tersebut mengandungi beberapa adat istiadat yang tersendiri. Dalam perkahwinan masyarakat di kampung tersebut, aktiviti perkahwinan tidak lagi terikat dengan adat istiadat kaum mereka terdahulu. Hal ini demikian kerana, kemajuan telah berlaku menyebabkan aktiviti perkahwinan turut mengalami perubahan ke arah yang lebih moden. Namun begitu, aktiviti bergotong-royong dalam kalangan masyarakat masih dikekalkan tetapi ada diantaranya juga menggunakan perkhidmatan katering bagi mereka yang berkemampuan. Di samping itu, dalam adat perkahwinan mereka terdapat aktiviti hiburan seperti karaoke, marhaban, nasyid, bermukun dan bergendang. Seterusnya, aktiviti menepung tawar turut ditemui dalam adat perkahwinan mereka tetapi adat tersebut telah mengalami transformasi iaitu daripada penggunaan beras kunyit kepada bunga rampai.
ekonomi
Ekonomi Kampung Buntal majoritinya berdasarkan hasil tangkapan laut. Hal ini kerana kedudukan geografi kampung tersebut yang berada di pinggir laut. Antara pekerjaan yang dilakukan adalah nelayan. Hasil tangkapan yang diperoleh, mereka akan menjual hasil tangkapan tersebut di tepi-tepi jalan dengan harga yang murah . Antara hasil yang diperoleh adalah ikan empirang, siput buluh (ambal), siput kemudi (bentarang), siput sedut (koyong), ketam, udang, dan sebagainya. Bukan itu sahaja, mereka juga menjual hasil tanaman seperti cili, sayur-sayuran dan buah-buahan.
Selain itu, mereka juga menghasilkan produk desa daripada hasil tangkapan dan dijadikan belacan , ikan kering, ikan kering, cencaluk ikan kering, botok ikan, pais ikan dan ikan terubok bakar. Di sana mereka mempunyai kilang pemprosesan belacan sendiri. Disebabkan banyak hasil laut yang diperoleh, penduduk Kampung Buntal mengambil peluang ini untuk membuka restoran makanan laut segar dan restoran di kampung ini dikenali ramai dan merupakan destinasi tarikan pelancong bertandang ke Kampung Buntal disamping membuka peluang perniagaan kepada penduduk lain . Selain dari hasil laut terdapat juga produk desa yang berbentuk kuih muih tradisional seperti kek lapis yang diusahakan oleh Kak Nora.
teknologi
Teknologi yang terdapat di kampung Buntal dapat dilihat menerusi prasarana yang terdapat di kawasan tersebut seperti bekalan air dan elektrik, penambahbaikan struktur jalanraya serta beberapa pertumbuhan kegiatan ekonomi. Jika dahulu kemudahan jalanraya perlu mengambil masa selama 2 hingga 3 jam untuk sampai ke bandar tetapi kini mereka hanya mengambil masa hanya 20 minit untuk sampai ke destinasi yang ingin dituju. Antara aktiviti perniagaan yang paling ketara dapat dilihat di kampung Buntal adalah menjual ikan pada waktu petang.
Selain itu, terdapat juga aktiviti penjualan makanan laut yang mempunyai pelbagai variasi seperti pais sotong, udang, telur sotong dan otak udang semuanya dibungkus dan dipanggang dalam daun nipah. Di samping itu, terdapat pembinaan kilang untuk pemprosesan membuat belacan namun, kilang tersebut masih lagi bersifat tradisi.
pentadbiran
Kampung Buntal merupakan sebuah perkampungan yang terletak di Santubong iaitu pentadbirannya berada dibawah Majlis Bandaraya Kuching. Bandaraya Kuching adalah ibu negeri Bandar terbesar di Sarawak. Bandaraya Kuching ini diduduki oleh penduduk sebanyak 658,549 mengikut bancian 2010. Selain itu, Kuching adalah bandaraya keempat terbesar di Malaysia selepas Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Banci penduduk Malaysia 2010 menunjukkan kawasan metropolitan Kuching termasuk kawasan Asajaya, Samarahan, Bau dan Lundu yang mempunyai sejuta penduduk.
Daerah kuching dibahagikan kepada beberapa kawasan iaitu kuching proper, siburan dan padawan. Daerah kuching dianggarkan mempunyai keluasan sebanyak 1,868.83 km persegi. Sistem pentadbiran daerah kuching, terdapat 3 badan berkuasa tempatan yang menjalankan struktur pentadbiran iaitu Dewan Bandaraya Kuching Utara, Majlis Perbandaran Padawan dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan. Badan pentadbiran kuching mempunyai beberapa objektif organisasi dalam menjalankan tugas-tugas pentadbiran iaitu pejabat Daerah Kuching merupakan penghubung antara sistem pentadbiran dan rakyat agar dapat menyerapkan polisi-polisi kerajaan kepada rakyat. Selain itu, mereka bertanggungjawab dalam mewujudkan pentadbiran ketua masyarakat yang cekap dan efektif.
Pentadbiran Kampung Buntal dikawal oleh En.Zamhari bin Morsidi yang merupakan ketua kampung tersebut. Diperingkat Sarawak, ketua kampung bertanggungjawab dalam menjaga keamanan kampung, menyelesaikan masalah-masalah yang berkaitan di peringkat kampung dan menjadi penghubung antara orang kampung dengan pegawai daerah dan pembantu kepada penghulu. Jawatan ketua kampung kini merupakan satu institusi kepimpinan tradisional yang dikawal oleh pejabat Daerah.
pendidikan
Penubuhan Sekolah Kebangsaan Kampung Buntal merupakan sebuah sekolah yang dikenali sebagai Sekolah Rakyat Kampung Buntal pada tahun 1936 dan diasaskan oleh seorang guru bernama Haji Nahrawi Man. Sekolah ini merupakan titik permulaan pendidikan di Kampung Buntal dan pada awal penubuhan sekolah ini hanya mempunyai seramai 60 orang murid ketika itu. Pembinaan Sekolah Kebangsaan kampung Buntal sepenuhnya oleh penduduk Kampung Buntal sendiri dengan bergotong-royong mengerah keringat demi masa depan anak-anak mereka. Kini, dengan adanya pengorbanan yang lalu, tahap pendidikan di Kampung Buntal ditingkatkan dengan penubuhan sekolah-sekolah lain seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (C) Chiang Hua dan terdapat juga Tabika Kemas, khas untuk murid-murid pra-sekolah agar pendidikan terus mengalir tanpa mengira umur dan bangsa.