top of page

Kampung Buntal

 

     Kampung Buntal merujuk kepada Sungai Buntal yang pada masa itu terkenal dengan ikan Buntal wujud kira-kira 300 tahun dulu. Individu pertama mendiami Kampung Buntal ialah Datuk Tanggak yang terpesona dengan kedudukan kampung terbabit lalu membawa ahli keluarga menetap di situ selain menjadi tempat persinggahan ketika menangkap ikan. Kampung Buntal yang kini didiami lebih 1,000 penduduk dengan 80 peratus adalah berketurunan Melayu, diikuti Cina dan Iban.

   

     Pada mulanya, kampung yang terletak kira-kira 27 kilometer dari pusat bandar raya ini terletak di tepi laut namun disebabkan bencana alam selain kerakusan manusia menyebabkan berlakunya hakisan pantai sekali gus memaksa penduduk berpindah ke kawasan jauh dari pantai. Rumah penduduk dibina di sepanjang jalan kampung dan masih mengekalkan seni bina tradisional dan rata-rata penduduk hidup dalam kesederhanaan. Kampung Buntal juga dikenali sebagai destinasi makanan laut selain menjadi pusat pengeluaran belacan, ikan kering dan kek lapis Sarawak.

 

     Menurut generasi ketiga penduduk Kampung Buntal, Ban Rapaee, 66, pada awalnya hanya mempunyai tujuh buah rumah. Beliau kini menjadi pengusaha belacan berkata, banyak perubahan disaksikannya sejak lebih 60 tahun lalu menetap di kampung berkenaan terutamanya daripada segi prasarana, bekalan air, api, jalan raya dan kegiatan ekonomi. Menangkap ikan adalah aktiviti utama di Kampung Bunta dan hampir setiap ketua isi rumah memilih bekerja sebagai nelayan pantai dengan hasil tangkapan biasanya untuk kegunaan sendiri. Selain itu, meraka juga menjual tangkapan mereka untuk mendapatkan sumber pendapatan dan ada juga yang sudah bergelar usahawan dengan mengusahakan perniagaan berasaskan hasil tangkapan laut.

 

     Penghulu, Matli @ Madli Sah, 57, memberitahu Kampung Buntal sudah menerima arus pembangunan dan kemudahan bagi memudahkan mereka berhubung dengan kampung lain. Penduduk kampung perlu mengambil masa dua hingga tiga jam untuk ke pusat bandar raya padamasa yang dahulu, tapi sekarang hanya mengambil masa 20 minit," katanya. Kerancakan ekonomi di kampung berkenaan turut memberi rezeki khususnya kepada golongan wanita di mana Kampung Buntal juga terkenal dengan perusahaan makanan yang dikendalikan Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS).

 

     Umpamanya, seorang usahawan wanita, Serimah Hazimi, 40, menjalankan perniagaan membuat Kek Lapis Sarawak Ori sejak enam tahun lalu yang bukan saja mendapat permintaan daripada penduduk sekitar Kuching, malah turut digemari pengunjung luar.

Selain itu, Kampung Buntal turut terkenal dengan perusahaan belacan dan amat diminati penduduk di sekitar bandar raya ini yang mana ia turut menjadi 'buruan' pelawat terutamanya dari Semenanjung untuk dijadikan ole-ole.

 

Fakta Kampung Buntal
1. Pada mulanya Kampung Buntal hanya ada tujuh rumah.
2. Sebuah kampung nelayan yang terletak di dalam daerah Kuching dan berdekatan        

    dengan Gunung Santubong dan Kampung Budaya Sarawak. 
3. Jarak antara Kampung Buntal dan pusat bandar raya kira-kira 27 kilometer dengan

    menggunakan kemudahan jalan raya.
4. Sejarah namanya diambil sempena Sungai Buntal yang pada masa itu terkenal dengan

    ikan buntal yang banyak.
5. Berdekatan dengan Santubong Resort dan Pantai Damai.

© 2023 by Website coming soon. Proudly created with Wix.com

bottom of page