ADAT DAN KEBUDAYAAN
Adat dan kebudayaan di Kampung Tanjung Parang begitu ketara kerana masyarakat atau penduduk di Kampung tersebut adalah majoriti masyarakat melayu Sarawak iaitu sebanyak 99% dan agama yang dianuti ialah agama islam. Selebihnya adalah masyarakat iban selain itu terdapat juga kaum Cina. Namun begitu, kaum Cina tidak dianggap sebagai penduduk tetap kerana mereka hanya menyewa rumah daripada kaum iban sahaja. Menurut kajian yang dijalankan khususnya dari segi adat dan kebudayaan di kampung tersebut hanyalah memfokuskan kepada adat perkahwinan kaum Melayu di kampung tersebut. Namun perkahwinan dalam masyarakat kaum Melayu Sarawak di Kampung Tanjung Parang adalah lebih kurang sama dengan adat perkahwinan melayu di Semenanjung yang merangkumi adat merisik dan majlis perkahwinan. Sebelum majlis perkahwinan dilangsungkan, ketua kampung dan pihak keluarga pengantin akan membuat satu perbincangan dari segi kos, dan segala hal tentang majlis tersebut.
Dari segi adat perkahwinan di Kampung Tanjung Parang ,upacara yang melibatkan agama islam adalah acara akad nikah ,sementara yang bukan bersifat agama adalah acara bersanding, tepung tawar atau berlutut dan adat tradisi iaitu makan nasi temuan yang merupakan adat yang unik dan menarik yang terdapat di kampung tersebut. Pada waktu malam sehari sebelum berlangsungnya majlis persandingan upacara menepung tawar atau juga dikenali sebagai berlutut pengantin diadakan. Upacara berlutut ini juga adakalanya akan diikuti dengan upacara berpacar atau lebih dikenali sebagai berinai. Acara ini juga dimeriahkan lagi dengan acara bermukun, pencak silat , gendang melayu, acara bertandak atau menari dan juga diiringi oleh paluan hadrah yang mengiringi pengantin. Sebelum majlis persandingan diadakan ,pengantin perempuan akan didandan dan dihias oleh mak Andam yang dipilih untuk kelihatan cantik dan berseri. Terdapat pantang larang bagi pengantin perempuan iaitu pengantin dilarang melihat cermin semasa sedang berdandan kerana dikuatiri akan hilang seri pengantin.
Pada sebelah petang atau malam pula ,aktiviti makan nasi temuan di adakan. Aktiviti makan nasi temuan diadakan bagi membiasakan kedua-dua pengantin dengan kehidupan berkeluarga selain untuk menghilangkan rasa malu kedua-dua belah pengantin. Majlis makan nasi temuan ini dilakukan bersama ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai. Selain itu, majlis perkahwinan juga dimeriahkan lagi dengan pertandingan suap-menyuap yang melibatkan pengantin perempuan dan lelaki. Menerusi pertandingan tersebut ,pengantin lelaki atau perempuan yang dapat menyuap pasangannya akan di kira sebagai pemenangya dan penonton atau pengunjung adalah sebagai juri untuk menentukan pemenangya. Terdapat dua pusingan pertandingan di mana sekiranya pengantin perempuan kalah akan mendapat peluang kali kedua untuk bertanding dan ganjaran bagi pemenang tersebut ialah pengantin akan mendapat pasanganya. Dalam aktviti ini mereka dihiasi dengan senda-tawa sesama mereka. Kebiasaannya aktiviti ini diketuai oleh penghulu kampung ini sendiri.
Makanan tradisi atau makanan wajib yang sering dihidangkan semasa perkahwinan ialah keladi sayur lumit, kulit sapi yang di masak bersama sayur umbut-umbut iaitu umbut pisang dan kelapa, sayur ikan lumit,ikan masin, cencalok,acar timun dan nenas serta ayam tua yang dimasak kari. Hidangan yang disediakan juga mengikut kemampuan keluarga untuk menyediakan juadah tersebut.
Selepas tujuh hari majlis perkahwinan berlangsung , adat menziarah ke rumah mentua oleh pengantin perempuan dilakukan . Adat ini juga dikenali sebagai mengundang menantu . Dalam majlis tersebut ibu mentua akan menghadiahkan sesuatu kepada pengantin perempuan seperti cincin, rantai emas atau berlian mengikut kemampuan ibu mentua bagi menunjukkan penerimaan dan kegembiraan ibu mentua kerana mendapat menantu yang baru.
Kesimpulannya, adat dan kebudayaaan di Kampung Tanjung Parang dari sudut perkahwinan tidak terdapat banyak perbezaannya. Perbezaannya adalah dari sudut istilah yang digunakan di kampung tersebut. Mereka masih mengekalkan adat tersebut mengikut kemampuan keluarga pengantin. Amalan gotong-royong masih diamalkan di kampung ini dalam semua majlis termasuk majlis khatam Al-Quran, dan berkhatan. Semua majlis, ketua kampung dan ketua blok menjadi rujukan kepada penduduk di situ.