KAMPUNG PINANG
Tujuh buah keluarga mula menerokai sebuah kawasan pada sekitar tahun 1930-an yang terletak di hulu Sungai Tuang. Setiap keluarga memiliki sebuah kawasan tanah yang tersendiri dan mereka menamakan tanah mereka dengan ciri-ciri yang terdapat di kawasan tanah tersebut. Salah satu daripada keluarga tersebut telah menamakan tanahnya sebagai Kampung Pinang kerana kawasan tersebut dikelilingi oleh pokok-pokok pinang, manakala keluarga-keluarga lain yang berdekatan pula telah menamakan kawasan mereka sebagai Kampung Bundong, Kampung Tandas dan sebagainya. Kemudian tujuh buah keluarga tersebut telah berpakat untuk mewujudkan sebuah kawasan perkampungan dan ingin menamakannya. Akhirnya, mereka telah bersetuju untuk menamakan kampung tersebut sebagai Kampung Pinang kerana pokok pinang telah menjadi tumpuan utama penduduk di situ dan mula menggunakan batang pinang termasuklah daun pinang sebagai bahan untuk mendirikan rumah.
Sebelum mereka mendirikan kawasan perkampungan tersebut, British dan Jepun pernah menjajah kawasan yang belum dikenali sebagai Kg.Pinang ini. Pada zaman penjajahan tersebut, kawasan itu diliputi dengan hutan dan pokok pinang. Oleh sebab itu, penjajah mula menerokai dan menempat di kawasan tersebut serta mereka mula mengusahakan pokok pinang. Selepas peninggalan penjajahan British dan Jepun, hanya terdapat segelintir penduduk yang tinggal di kawasan tersebut yang terdiri daripada tujuh buah pada sekitar tahun 1930-an.
Kg. Pinang juga mempunyai keunikannya yang tersendiri. Semasa temubual bersama seorang warga emas yang dikenali sebagai Pak Cik Kompot yang merupakan seorang penangkap ikan dan udang galah yang mempunyai pengalaman selama 30 tahun dan ia merupakan sumber rezeki utama keluarga beliau. Namun, semasa mencari rezeki hariannya beliau telah menghadapi beberapa cabaran yang rumit untuk menyara keluarganya yang terdiri daripada 8 orang anak dan isterinya. Menurut pengalamanya, beliau pernah melihat seekor buaya yang panjangnya lebih kurang 13 atau 14 kaki yang telah terperangkap dalam sangkar ikan beliau dalam keadaan mati. Buaya tersebut merupakan buaya yang terpanjang yang pernah dilihat oleh Pak Cik Kompot berbanding dengan buaya-buaya lain yang turut pernah dilihat sepanjang penangkapan hasil sungai. Buaya terpanjang tersebut telah diambil oleh pihak Maktab Perguruan untuk membuat kajian terhadap kulit buaya tersebut. Berita ini telah tersebar dan dapat diketahui oleh pihak media serta tersebar dalam surat khabar. Hampir semua penduduk kampung pernah melihat buaya di sungai Pinang, kebanyakannya terdiri daripada penduduk yang kerap menangkap ikan atau udang galah di sungai tersebut. Buaya-buaya tersebut biasanya kelihatan pada waktu malam tetapi menurut penduduk kampung, buaya tersebut tidak pernah menyerang atau mengganas dengan orang yang berada di sungai pada ketika itu. Hal ini juga kerana penduduk kampung mempercayai bahawa penduduk yang menangkap ikan tidak boleh bertindak kasar atau mengganggu buaya-buaya yang dilihat.