KAMPUNG ENDAP
Kampung Endap merupakan sebuah kampung yang dibuka sekitar tahun 1905. Kedudukannya yang strategik terletak di antara Kota Samarahan dengan Siburan menyebabkan ia dikenali serta menjadi daya penarik kepada para pengunjung. Perkampungan tersebut dinamakan sebagai Kampung Endap kerana ingin mengingati tujuan pembukaan kawasan tersebut yang pada mulanya merupakan kawasan persembunyian, mengintip dan menghendap pergerakan pihak musuh iaitu tentera Jepun. Sejarah terciptanya kampung ini bermula pada tahun 1905 di mana benteng pertahanan Mungo Kota yang terletak di Muara Sungai Tuang telah dikepung oleh pihak musuh. Golongan lelaki pada zaman itu telah membuka sebuah kawasan di hulu Sungai Tuang sebagai kawasan perlindungan dan persembunyian bagi isteri dan anak-anak mereka daripada ancaman pihak musuh. Sumber makanan turut disembunyikan di kawasan hutan dengan tujuan bekalan tersebut tidak diambil oleh pihak musuh. Kemudian, golongan lelaki kembali semula ke Mungo Kota dan akhirnya berjaya menghalang kemaraan pihak musuh. Benteng yang semakin kukuh telah menjadikan kawasan sepanjang Sungai Tuang itu lebih selamat. Kawasan perlindungan dan persembunyian itu akhirnya dijadikan sebagai sebuah perkampungan kekal kerana semakin hari bilangan penduduk yang mendiami kawasan tersebut bertambah. Sehingga ke hari ini usia kewujudan Kampung Endap telah mencapai lebih satu abad dan mengalami pelbagai proses perubahan dalam arus kemajuan yang semakin pesat. Selain itu, kampung ini juga mempunyai jalinan perhubungan dan pengangkutan yang lebih baik semenjak perusahaan ladang kelapa sawit mula beroperasi di seberang kawasan kampung tersebut.
Kampung tersebut telah diterajui oleh seorang penghulu dan seorang pengerusi JKK namun, penghulu yang menerajui kampung tersebut telah meninggal dunia dan untuk sementara waktu tanggungjawab penghulu diberikan kepada En. Haji Awang Mohamad Bin Awang Jamel sebagai wakil penghulu. Berdasarkan maklumat yang diperolehi, kampung ini terletak di daerah Kota Samarahan di mana pentadbirannya di bawah Dewan Undangan Negeri N15 Muara Tuang manakala bahagian pentadbiran persekutuannya pula di bawah Parlimen P197 Kota Samarahan. “Gerakan Daya Wawasan” merupakan satu gelaran yang diberikan kepada kampung tersebut. Hal ini demikian kerana, ia bersesuaian dengan usaha para penduduknya dalam meningkatkan kemajuan demi masa hadapan masyarakat sejagat. Sebagai contoh, kerjasama yang disumbangkan oleh para penduduk kampung membolehkan pucuk kepimpinan di kampung tersebut dapat melaksanakan setiap perancangan aktivitinya dengan berjaya sehingga kampung ini dapat mencipta kejayaan demi kejayaan. Kenyataan ini dibuktikan pada tahun 2005, Kampung Endap telah muncul sebagai juara dalam Pertandingan Anugerah Desa Cemerlang Peringkat Bahagian. Seterusnya, kemenangan ini berlarutan apabila Kampung Endap sekali lagi menjadi wakil bahagian Samarahan dalam pertandingan yang serupa di peringkat negeri. Dalam usaha memupuk semangat patriotisme dan cintakan tanah air, kampung Endap tidak ketinggalan dalam menganjurkan aktiviti di mana pada tahun 2004, Kampung Endap telah menjadi johan Pertandingan Kampung Bulan Kemerdekaan Bahagian Samarahan manakala pada tahun 2005 pula, kampung ini dipilih sebagai juara pertandingan Mengibar Jalur Gemilang Daerah Kota Samarahan yang dianjurkan oleh Pejabat Daerah Samarahan. Pada tahun ini juga, Kampung Endap sekali lagi telah mencalonkan diri mereka dalam pertandingan sempena kemerdekaan yang dianjurkan oleh pihak KEMAS. Satu perkara yang menarik berkenaan dengan kampung ini ialah pendirian penduduk kampung itu sendiri. Seramai 700 orang berpegang teguh dengan motto BERSATU, BERDAYA, BERWAWASAN dalam mengekalkan kecemerlangan dan kedamaian kampung itu sendiri.