ADAT DAN KEBUDAYAAN
Terdapat pelbagai adat dan kebudayaan yang diterapkan di kampung ini, antaranya adalah adat dalam majlis perkahwinan seperti majlis berlulut (berinai), upacara makan nasi temuan, bertandak (menari) dan menopeng. Namun, tidak semua adat tersebut diamalkan pada masa ini. Majlis berlulut dilakukan pada malam sebelum bernikah bagi pengantin perempuan. Upacara makan nasi temuan dilakukan selepas pasangan pengantin bersanding, upacara ini dilakukan oleh kedua-dua pengantin serta diketuai oleh wanita yang berusia. Hidangan nasi temuan ini akan ditutup dengan tudung saji, kemudian wanita yang berusia itu (sebagai juri pertandingan) akan membuat kiraan sambil membuka tudung saji. Kemudian, pengantin lelaki dan perempuan akan berebut untuk memberi suapan kepada pasangan masing-masing sebanyak tiga kali pusingan. Pihak pengantin perempuan dan lelaki yang berjaya menyuap pasangan terlebih dahulu akan menang dalam pertandingan tersebut. Istilah “menopeng” pula sebenarnya bermaksud bermain topeng. Hal ini demikian kerana, pada zaman dahulu masyarakat melayu Sarawak akan memakai topeng ketika menari. Kadangkala, aktiviti ini juga disebut sebagai bertandak atau menari.
Di semenanjung, pemberian hantaran diberi oleh kedua-dua belah pihak pengantin semasa bertunang dan bernikah. Namun, di kawasan Muara Tuang ini hanya memberi hantaran semasa bertunang sahaja, semasa bernikah pula hanya pemberian mas kahwin dan barang kemas. Langkah bendul pula bermaksud apabila pengantin terlebih dahulu kahwin sebelum adik beradik yang berusia itu kahwin. Apabila bakal pengantin langkah bendul, pengantin haruslah memberi cincin kepada adik-beradik yang lebih berusia (yang belum berkahwin).